Penduduk Islam di Kiruna, Sweden berpuasa 20 jam sehari Kira-kira 700 orang penduduk Islam di sebuah
bandar perlombongan di sini, terpaksa menjalani ibadah puasa selama 20
jam selepas kawasan berkenaan mengalami fenomena matahari terbit selama
23 jam.
Fenomena tersebut berlaku setiap
tahun antara 28 Mei hingga 16 Julai, iaitu dua pertiga tempoh Ramadan
pada tahun ini.
"Saya bersahur pada pukul 3.30 pagi waktu tempatan (9.30 malam waktu
Malaysia) ketika matahari terik. Saya meletakkan dua helai langsir di
dalam bilik, namun cahaya matahari tetap masuk dan menganggu masa tidur
saya," kata seorang penduduk yang dikenali sebagai Ghassan Alankar.
Oleh kerana tiada sebarang ketetapan dikeluarkan berhubung masa
bersahur dan berbuka di kawasan berkenaan sebelum ini, penduduk di
kawasan itu menggunakan empat jadual waktu dunia untuk berbuka puasa
antaranya Mesir.
Namun, bagi mengelak sebarang kekeliruan, Majlis Fatwa dan
Penyelidikan Eropah (ECFR) mengeluarkan nasihat supaya penduduk
menggunakan waktu berbuka di ibu negara Stockholm yang terletak
kira-kira 1,240 kilometer selatan Kiruna.
"Di Stockholm terdapat waktu siang dan malam," kata Setiausaha Agung
(ECFR), Hussein Halawa berhubung keputusan fatwa berkenaan selepas
beliau mengalami sendiri pengalaman berpuasa di Kiruna.
Seorang penduduk, Idris Abdulwhab berkata, berdasarkan kepada fatwa
yang dikeluarkan oleh ECFR, penduduk akan berpuasa selama 20 jam sehari.
"Saya tidak kisah sama ada 15, 25, atau 45 jam sehari kami harus
berpuasa, asalkan ibadah ini diterima oleh Allah," jelasnya sambil
menambah sebagai manusia, berpuasa dalam jangka masa waktu yang panjang
begitu menguji kesabaran.
No comments:
Post a Comment